Friday, December 24, 2010

Pada Hari Terkuburnya USD

Sewaktu saya masih kecil, saya pernah berniaga di warung makan bersama emak & ayah saya. Kebetulannya, kami berjiran dengan sebuah kedai servis kereta mewah. Hanya BMW & Mercedes sahaja pelanggannya. Salah seorang pelanggan 'tetap' warung buruk kami ialah seorang juruterbang. Tugasnya sebagai juruterbang menuntut dia berada di banyak negara-negara luar. Melalui beliaulah, saya dapat mengenali bermacam-macam jenis matawang negara lain. Katanya, USD lah yang paling diterima pakai di mana-mana tempat di dunia ini. Kagumnya.

Kini, dengan sekelumit pengalaman merantau yang saya ada, banyak sekali negara yang menerima USD sebagai medium perdagangannya. Malah ada negara yang langsung tidak gemar menggunakan matawangnya sendiri seperti Lebanon, Vietnam & Mauritius, baik dalam urusan dagangan dalam negaranya sendiri apatah lagi dalam urusan jual beli antarabangsa. Semuanya dalam USD. Gah sungguh nampaknya USD di mata dunia!

Kita semua tahu, USD adalah wang fiat, jadi nilainya amat bergantung kepada keyakinan pengguna. Jika hilang lenyap keyakinan  maka nilainya bisa jatuh menjadi sifar! Mungkin antara kita yang enggan percaya kesahihan ini, kerana bagi mereka keutuhan USD itu seperti tidak bisa diganggu-gugat oleh mana2 negara sekalipun. Teman, bukan saya sahaja yang meramalkan, bahkan pakar2 ekonomi dari negara 'bermata satu' itu sendiri juga telah membuat kajian demi kajian tentang bakal termusnahnya matawang mereka!

Sudah tentu, bukan USD sahaja yang akan mengalami senario kepupusan ini, malah semua jenis matawang yang jika diputuskan sandarannya dengan sesuatu yang mempunyai intrinsic value, akan mengalami peristiwa yang sama. Tidak terkecuali, Ringgit Malaysia juga. (Ramai yang tidak tahu bahawa Bank Negara juga sudah tidak lagi sandarkan percetakan wang RM pada emas!). Ada beberapa kajian pakar ekonomi mengatakan, (dan sejarah dunia juga telah membuktikannya) pusingan hidup matawang fiat hanyalah dalam lingkungan 40 tahun dan USD (selepas diputuskan hubungan emas & USD pada tahun 1971) kini sudah di tahun yang ke-39! Oh, sungguh menakutkan..

Ini adalah graf yang saya perolehi yang menunjukkan menurunnya kuasa membeli USD terhadap emas sejak tahun 1718.


Daripada graf di atas, secara keseluruhannya, USD telah hilang "taring"nya hampir 95%!! Pada 15 Ogos 1971 itulah sebenarnya USD telah "mati". Pada tarikh tersebut, tanpa persetujuan daripada Kongres, Presiden Nixon telah memutuskan hubungan antara USD dengan emas, dan semenjak dari itulah USD sedikit demi sedikit telah menjadi wang Monopoli! Saya kira, jika Nixon masih hidup, beliau antara orang yang paling menyesal atas tindakannya itu. Namun, jika betul dia masih hidup, ingin saya katakan pada dia, "terlajak perahu boleh diundur, terlajak putuskan emas buruk padahnya!".

Peperangan matawang telah bermula, yang mana ini akan mempercepatkan lagi kemusnahan sistem wang fiat ini. Malah negara kita sendiri kini telah menunjukkan keraguan terhadap matawang USD, apabila kita telah membeli bon dari negara China. Sila klik petikan di bawah:



Kemuncak artikel saya pada kali ini, saya jamukan saudara dengan satu hidangan. Ia amat enak jika kita bersedia menghadapinya, namun boleh menghilangkan senyum di muka jika kita alpa & lalai. Video ini dari National Inflation Association (NIA) yang berpusat di Amerika Syarikat. Ia adalah satu fiksyen yang ilmiah, yang menunjukkan kehancuran USD ini bukan diramal kosong bahkan mempunyai kebarangkalian yang sangat tinggi. Persis filem 2012 yang rata-rata takut akan kehadiran kiamat!


Firman Allah Taala bermaksud:
"Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukkan syaitan lantaran (terkena) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba." (Surah al-Baqarah: Ayat 275).

"Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan riba) maka ketahuilah bahawa Allah dan rasulNya menyatakan perang terhadap kalian." (Surah al-Baqarah: Ayat 279).

WALLAHU 'ALAM

Tuesday, December 21, 2010

Emas dan Pendapatan Per Kapita

Target Kerajaan Malaysia untuk mencapai Pendapatan Negara Kasar (GNI) kepada RM1.7 trilion pada tahun 2020 daripada RM600 bilion pada 2009 amatlah dialu-alukan. Ini seterusnya akan meningkatkan pendapatan perkapita rakyat Malaysia daripada RM 22,000 kepada RM 49,500 pada tahun 2020. Pendapatan per kapita Malaysia pada tahun 2000 adalah sebanyak USD8210 dan kini telah mencapai angka USD13530. Namun persoalannya, makin senang dan makmurkah kita sejak 10 tahun kebelakangan ini? Jika mengikut peningkatan pendapatan sedemikian rupa, seharusnyalah rakyat negara kita semakin senang dan mampu menikmati kehidupan yg lebih selesa dari tahun ke tahun. Sejauh manakah benarnya kenyataan ini? Saya ingin mengajak anda merenung-fikir perkara ini sedalam-dalamnya.


Sumber :  world bank

Jika diteliti sebetulnya, kenyataannya adalah amat berbeza dengan graf diatas. Realitinya tidak seindah teori yang digembar-gemburkan di dada akhbar saban hari. Rata-rata rakyat kini mengeluh dengan kos sara hidup yang semakin tinggi. Jadi di manakah silapnya, walhal zahirnya pendapatan kita bertambah setiap tahun tetapi batinnya kita masih rasa tertekan dengan kenaikan harga barang-barang setiap tahun. Bukanlah menjadi rahsia bagi yang berpengetahuan, sememangnya dalang disebaliknya adalah wang fiat. Lebih banyak sesebuah negara mencetak wang maka makin jatuhlah nilai matawang negara tersebut. Dengan erti kata lain, tiada gunanya pendapatan RM50,000 setahun sekalipun jika untuk membeli sebuku roti pun sudah berharga RM15, rumah teres bersaiz standard sudah menjangkau harga RM500,000!! Ternyata kuasa membeli kita semakin menurun walaupun tangga gaji kelihatan makin naik. Bagaimana mungkin kita mengecap kesenangan bila mana gaji cuma naik 4% setahun sedangkan harga barang naiknya berpuluh peratus? Di sinilah Islam telah membuktikan kesempurnaan agama ini, apabila ia menggariskan cara yg lebih tepat untuk menilaikan pendapatan penduduknya. Penggunaan emas sebagai satu media pengukuran taraf hidup seseorang adalah lebih tepat dan saksama kerana logam ini telah terbukti mempunyai kuasa membeli yang konsisten sejak lebih 1400 tahun (dan ini dibuktikan melalui Hadis) .

Saya huraikan perdebatan ini dengan lebih mendalam melalui graf di bawah, yang menunjukkan pendapatan perkapita yang saya tukarkan ke dalam Dinar.


Dari graf diatas jelas menunjukkan pendapatan perkapita rakyat Malaysia telah menurun bermula dari tahun 2000 walaupun dalam kiraan USD (graf pertama) ianya kelihatan meningkat. Ini membawa maksud jumlah pendapatan dalam wang fiat tidak akan membawa kemakmuran sebenar jika kuasa membeli matawang itu terus turun. Angkanya sahaja mungkin nampak banyak namun nilai sebenarnya semakin menurun kerana saban tahun semakin banyak wang kertas dicetak sesuka hati menyebabkan bertimbun-timbun wang fiat di negara kita. Inilah dia yang disebut Quantitative Easing yang telah saya bincangkan dalam artikel saya terdahulu. Jadi janganlah kita tertipu dengan wang kertas ini. Lebih-lebih lagi jika kita mahu menabung untuk masa depan, kerana kalau kita menyimpan wang kertas, akhirnya kita hanya mendapat kertas!!


Money Is NOT Wealth. Wallahu 'alam.