Friday, December 24, 2010

Pada Hari Terkuburnya USD

Sewaktu saya masih kecil, saya pernah berniaga di warung makan bersama emak & ayah saya. Kebetulannya, kami berjiran dengan sebuah kedai servis kereta mewah. Hanya BMW & Mercedes sahaja pelanggannya. Salah seorang pelanggan 'tetap' warung buruk kami ialah seorang juruterbang. Tugasnya sebagai juruterbang menuntut dia berada di banyak negara-negara luar. Melalui beliaulah, saya dapat mengenali bermacam-macam jenis matawang negara lain. Katanya, USD lah yang paling diterima pakai di mana-mana tempat di dunia ini. Kagumnya.

Kini, dengan sekelumit pengalaman merantau yang saya ada, banyak sekali negara yang menerima USD sebagai medium perdagangannya. Malah ada negara yang langsung tidak gemar menggunakan matawangnya sendiri seperti Lebanon, Vietnam & Mauritius, baik dalam urusan dagangan dalam negaranya sendiri apatah lagi dalam urusan jual beli antarabangsa. Semuanya dalam USD. Gah sungguh nampaknya USD di mata dunia!

Kita semua tahu, USD adalah wang fiat, jadi nilainya amat bergantung kepada keyakinan pengguna. Jika hilang lenyap keyakinan  maka nilainya bisa jatuh menjadi sifar! Mungkin antara kita yang enggan percaya kesahihan ini, kerana bagi mereka keutuhan USD itu seperti tidak bisa diganggu-gugat oleh mana2 negara sekalipun. Teman, bukan saya sahaja yang meramalkan, bahkan pakar2 ekonomi dari negara 'bermata satu' itu sendiri juga telah membuat kajian demi kajian tentang bakal termusnahnya matawang mereka!

Sudah tentu, bukan USD sahaja yang akan mengalami senario kepupusan ini, malah semua jenis matawang yang jika diputuskan sandarannya dengan sesuatu yang mempunyai intrinsic value, akan mengalami peristiwa yang sama. Tidak terkecuali, Ringgit Malaysia juga. (Ramai yang tidak tahu bahawa Bank Negara juga sudah tidak lagi sandarkan percetakan wang RM pada emas!). Ada beberapa kajian pakar ekonomi mengatakan, (dan sejarah dunia juga telah membuktikannya) pusingan hidup matawang fiat hanyalah dalam lingkungan 40 tahun dan USD (selepas diputuskan hubungan emas & USD pada tahun 1971) kini sudah di tahun yang ke-39! Oh, sungguh menakutkan..

Ini adalah graf yang saya perolehi yang menunjukkan menurunnya kuasa membeli USD terhadap emas sejak tahun 1718.


Daripada graf di atas, secara keseluruhannya, USD telah hilang "taring"nya hampir 95%!! Pada 15 Ogos 1971 itulah sebenarnya USD telah "mati". Pada tarikh tersebut, tanpa persetujuan daripada Kongres, Presiden Nixon telah memutuskan hubungan antara USD dengan emas, dan semenjak dari itulah USD sedikit demi sedikit telah menjadi wang Monopoli! Saya kira, jika Nixon masih hidup, beliau antara orang yang paling menyesal atas tindakannya itu. Namun, jika betul dia masih hidup, ingin saya katakan pada dia, "terlajak perahu boleh diundur, terlajak putuskan emas buruk padahnya!".

Peperangan matawang telah bermula, yang mana ini akan mempercepatkan lagi kemusnahan sistem wang fiat ini. Malah negara kita sendiri kini telah menunjukkan keraguan terhadap matawang USD, apabila kita telah membeli bon dari negara China. Sila klik petikan di bawah:



Kemuncak artikel saya pada kali ini, saya jamukan saudara dengan satu hidangan. Ia amat enak jika kita bersedia menghadapinya, namun boleh menghilangkan senyum di muka jika kita alpa & lalai. Video ini dari National Inflation Association (NIA) yang berpusat di Amerika Syarikat. Ia adalah satu fiksyen yang ilmiah, yang menunjukkan kehancuran USD ini bukan diramal kosong bahkan mempunyai kebarangkalian yang sangat tinggi. Persis filem 2012 yang rata-rata takut akan kehadiran kiamat!


Firman Allah Taala bermaksud:
"Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukkan syaitan lantaran (terkena) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba." (Surah al-Baqarah: Ayat 275).

"Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan riba) maka ketahuilah bahawa Allah dan rasulNya menyatakan perang terhadap kalian." (Surah al-Baqarah: Ayat 279).

WALLAHU 'ALAM

No comments: