Sebagaimana yang sudah saya janji, Inshaallah saya akan gariskan satu rumus yang saya dapat daripada pembacaan & analisa saya. Pada hemat saya, rumus atau formula ini cukup 'basic' pada dasarnya, namun saya percaya, jika asasnya belum mantap, bagaimana mungkin rumahnya bisa teguh kukuh berdiri. Anggap sahaja formula ini sebagai satu ilmu baru jika anda masih belum tahu & anggap sahaja sebagai peringatan sekiranya ia pernah suatu ketika sudah 'di register' di akal fikiran anda.
Rumus ini menyatakan hubungan antara PENDAPATAN ( I ), PERBELANJAAN ( E ) dan TABUNGAN / PELABURAN ( S )
I = E + S
Sumber untuk tabungan atau pelaburan disimbolkan dengan I atau income. Simbol E adalah expenditure (perbelanjaan) atau nilai wang yang dihabiskan saat ini untuk memenuhi berbagai keperluan. Perbelanjaan adalah segala aktiviti yang bersifat menghabiskan nilai guna (utility) sesuatu produk, samada berupa barang ataupun perkhidmatan.
Idealnya, seseorang boleh menyisihkan 30% dari pendapatannya untuk tabungan atau pelaburan. Angka 30% itu adalah cadangan semata, di mana setiap orang tetap boleh hidup dengan baik sambil menabung atau melabur.
Saya beri contoh, misalnya Adam memiliki gaji sebanyak Rm 2500.00, maka idealnya rumus di atas akan menjadi:
I = E + S
Rm 2500.00 = Rm 1750 + Rm 750
Biasanya, semakin besar pendapatan seseorang, maka peratus tabungannya/pelaburannya akan lebih besar. Sekiranya Adam berhasil mendapat pendapatan tambahan sebanyak Rm 500.00 di luar gaji (contohnya melalui perniagaan kecil-kecilan), bahagian perbelanjaan dan pelaburannya juga mungkin berubah. Secara normal, perbelanjaan akan naik. Tapi secara peratusannya, jika dihitung balik, mungkin naik mungkin juga turun. Karektor dan 'lifestyle' seseorang lah yang akan menentukannya. Orang yang rasional tidak akan menaikkan perbelanjaannya melebihi kenaikan pendapatannya. Sebaliknya, orang yang tidak rasional seringkali menaikkan perbelanjaannya melebihi pendapatannya. Bahkan, terdapat juga golongan yang "menggadaikan pendapatan masa depan" dengan berbelanja menggunakan wang pinjaman.
Misal sahaja Adam adalah orang yang tidak rasional. Dia sudah bosan naik komuter untuk ke pejabat. Kerana pendapatannya naik 20% (melalui 'passive income' sebanyak Rm500.00 tadi), dia memutuskan untuk membeli sebuah kereta terpakai dengan ansuran Rm 700.00 sebulan.
I = E + S
Rm 3000.00 = Rm 2450 + Rm 550
Di sini, terjadi penurunan peratusan pelaburan atau tabungan, dari 30% kepada 18% atau dari segi angkanya, terjadi penurunan pelaburan atau tabungan daripada Rm750.00 kepada Rm550.00. Yang naik tajam adalah perbelanjaannya, dari Rm 1750.00 menjadi Rm 2450.00. Memang tidak semuanya habis dipakai, kerana ada sebahagian yang sifatnya merupakan pelunasan hutang (car leasing), tetapi tetap sahaja itu merupakan satu pengeluaran wang.
Sebaliknya, jika Adam termasuk dalam orang yang rasional, ia terlebih dahulu mengetepikan pelaburan/tabungannya. Dia tetap mengekalkan peratus tabungan sebanyak 30% itu. Dengan demikian, rumusnya akan berubah menjadi seperti berikut:
I = E + S
Rm 3000.00 = Rm 2100.00 + Rm 900.00
Dengan 'proportion' yang sama, terjadi kenaikan jumlah yang baik di bahagian perbelanjaan mahupun tabungan. Ini bererti, kesejahteraan atau kualiti hidup Adam pada saat ini meningkat, tabungan atau simpanan daya belinya untuk masa depan juga meningkat.
Jika Adam cenderung untuk menyimpan kenaikan pendapatannya untuk masa depan, dia akan mengagihkan seluruhnya untuk tabungan/pelaburan. Perbelanjaannya tetap sama pada ketika pendapatannya tidak bertambah, iaitu ditetapkan pada jumlah Rm 1750.00 sehingga rumusnya akan menjadi:
I = E + S
Rm 3000.00 = Rm 1750 + Rm1250
Anda boleh lihat, dari segi peratusannya, perbelanjaan Adam turun dari 70% kepada 58% sahaja, walaupun masih pada angka Rm1750.00. Tabungan jua tentunya naik dari 30% kepada 42%, atau secara angka naik daripada Rm750.00 kepada Rm1250.
Ini bererti, Adam berhasil mengagihkan lebih banyak wang untuk tabungan/pelaburan. Logiknya, bertahun-tahun yang akan datang Adam akan memiliki aset yang lebih besar daripada rakan-rakannya yang tidak menabung. Wang Rm 1250.00 setiap bulan itu akan memiliki nilai yang berlipat kali ganda beberapa tahun kemudian.
Persoalannya, apakah kemudian hari nanti kehidupan Adam akan menjadi lebih berkualiti dan makmur?
Seharusnya, Adam memang akan lebih sejahtera. Kerana dia sudah berkorban pada diri sendiri untuk menunda membeli kereta dan meletakkan keperluan berkereta itu di nombor dua. Jika diikutkan adilnya, dia seharusnya lebih sejahtera di masa depan.
Tapi jawabnya : BELUM TENTU.
Semuanya bergantung pada pilihan pelaburan yang dipilih Adam. Apakah pelaburan yang Adam pilih itu boleh menakluk inflasi, atau akan kehilangan nilainya secara perlahan-lahan dek hakisan inflasi.
Baiklah, saya beri satu lagi contoh. Masih bersama Adam, penjimat wang ini.
Katakan, sewaktu Adam mula-mula menabung ini adalah sewaktu dia mula-mula bekerja. Waktu itu, Adam berkenan pada sebuah rumah yang dimajukan oleh satu 'developer' yang boleh dikatakan terkenal juga. Harga rumah itu sahaja sudah bisa 'melopongkan' mulut Adam, lebih-lebih lagi untuk 'fresh graduate' sepertinya. Rm 450,000.00. Namun, kerana Adam seorang yang berwawasan, dia memutuskan untuk menyimpan wang sedikit-sedikit dan memberi tempoh kepada dirinya sendiri selama 3 tahun. Dia menyimpan wang tabungannya di ASB dengan kadar dividen sebanyak 7% setahun.
Setelah 3 tahun berlalu, wang tabungan Adam menjadi:
(Rm1250.00 x 12 bulan x 3 tahun) + Rm 6599.15 (dividen terkumpul selama 3 tahun) = Rm 51,599.15
Namun begitu, apakah Adam berjaya memiliki rumah idamannya setelah 3 tahun mengikat keinginan untuk bermewah-mewah?
Dengan tabungan sebanyak Rm 51,599.15 itu, perlu diambil kira kadar inflasi di Malaysia untuk kita tahu 'nilai sebenar' wang sebanyak itu pada tahun tersebut. Saban tahun, terdapat rungutan berkenaan harga barang naik, walaupun pada fikiran saya, barang tidak sekali-kali mengalami kenaikan harga, tetapi jujurnya, nilai matawang kita yang jatuh setiap tahun. (Inshaallah, saya akan bincang berkenaan topik ini dilain lembaran).
Juga mengambil kira kenaikan 'property appreciation rate' di Malaysia yang secara puratanya saya ambil sebanyak 12% setahun, rumah yang di'target' oleh Adam yang berharga Rm450,000.00 pada 3 tahun lepas, kini sudah mencecah angka baru, Rm 564,500.00 (anggaran). Nampaknya susah payah Adam menabung sebanyak Rm 1250.00 setiap bulan, ternyata dia masih tidak terkejar dengan inflasi & juga kenaikan kos pembelian rumah, jika dia ingin memiliki kualiti rumah yang sama. Jika pada 3 tahun lepas, rumah berharga Rm450,000 itu merupakan rumah 2-tingkat, 4 bilik tidur & 4 bilik air tetapi pada 3 tahun selepas itu dia masih boleh membeli rumah pada harga yang sama, cuma keluasannya sudah mengecil. Bermakna, sampai bila-bila pun kualiti hidup Adam tidak akan meningkat banyak jika dia terlampau bergantung kepada matawang semata, ternyata inflasi memakan hasil penat lelah usahanya itu.
Nah, di sinilah peranan emas boleh diperkatakan. Emas berupaya menakluk inflasi, kerana rata-rata apabila inflasi meningkat, harga emas juga meningkat..bukan sahaja seiring nilainya, malah seringkali lebih tinggi mendahului kadar inflasi. Jika tidak, masakan kos naik haji pada tahun 2002 ialah 63 dinar, manakala seseorang hanya perlukan 21 dinar sahaja pada tahun 2009 untuk tujuan yang sama! Sedangkan harga barang & kos perkhidmatan tetap naik tanpa alpa. Inilah 'the beauty of gold-the God's Money'.
Justeru, pilihlah cabang tabungan yang tepat & kurang terkesan dek inflasi dan ketidakseimbangan ekonomi. Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang yang mana kedudukan Amerika Syarikat sebagai kuasa terbesar dunia kian merudum! Biarlah kita mampu bersorak gembira jika itu berlaku, jangan kita juga terbias dengan bencana itu.
No comments:
Post a Comment